JABATAN PERHUTANAN NEGERI JOHOR TANAM 600 BAKAU KURAP DI TELUK WAWASAN


600 anak pokok spesis Bakau Kurap ditanam di pantai Teluk Wawasan, Batu Pahat. | Foto ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Johor

 

Sebanyak 600 anak pokok spesis Bakau Kurap ditanam di pantai Teluk Wawasan, dekat Batu Pahat, bagi Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sempena Tahun Baharu 2024.

 

Bertemakan ‘Kelestarian Alam : Tanggungjawab Bersama’, program telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

 

Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman memaklumkan program disertai 180 peserta itu bagi membantu memulihkan semula dirian bakau dan dataran pantai berlumpur di pantai berkenaan.

 

Selain itu, program diadakan untuk meningkatkan kesedaran peri penting mengekalkan kawasan litupan hijau dan hutan serta menambah baik ekosistem pantai terutama sepanjang pesisiran pantai di negeri ini.

 

Berdasarkan kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) tahun 2013 bertajuk ‘Morfologi dan Taburan Sedimen di Teluk Wawasan’ mendapati berlakunya pengurangan kawasan dataran lumpur yang ketara menyebabkan sebahagian besar kawasan hutan bakau merosot selepas tsunami tahun 2004.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor