PERCEPATKAN PEMBAIKAN JALAN DI LOKASI HOTSPOT: MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarahkan syarikat konsesi untuk mempercepatkan pembaikan jalan di beberapa ‘hotspot’ termasuk di Lebuh Raya Pasir Gudang serta Jalan Persekutuan antara Mersing dan Kota Tinggi | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat konsesi telah diarahkan untuk mempercepatkan pembaikan jalan di beberapa ‘hotspot’ termasuk di Lebuh Raya Pasir Gudang serta Jalan Persekutuan antara Mersing dan Kota Tinggi.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu bagi memastikan jalan raya yang lebih selesa buat pengguna.

 

Menurutnya, kerajaan negeri juga memandang serius soal keselamatan pengguna di jalan raya dan telah memperhebatkan lagi kerja baik pulih sejak tahun lepas.

 

“Kerajaan negeri amat memahami keresahan Bangsa Johor yang sering berulang alik di beberapa lebuh raya dan jalan raya yang berlubang dan tidak rata, di sesetengah kawasan dalam negeri.

 

“Keadaan ini bukan sahaja boleh mengakibatkan kemalangan dan merosakkan kenderaan, malah menjejaskan keselamatan pengguna,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, menerusi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor serta syarikat konsesi Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd. (SGV) dan Selia Senggara Selatan Sdn. Bhd., pelbagai kerja pembaikan telah dilaksanakan pada tahun lalu.

 

Antara kerja tersebut adalah pengurusan dan penyelenggaraan 286 kilometer jalan-jalan persekutuan; tampalan jalan raya sebanyak 310,093.781 meter persegi untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Greater JB selain pembersihan perabot jalan seperti penghadang dan papan tanda, membaikpulih cerun dan longkang serta penurapan jalan-jalan.

 

Beliau berkata, kebanyakan kerja-kerja tersebut telah dilaksana dengan baik, namun masih banyak lagi perkara yang boleh dipercepatkan.

 

“Kerajaan negeri juga komited untuk terus mengurangkan birokrasi bagi membantu memastikan jalan-jalan utama dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengguna jalan raya di Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor