JOHOR SUMBANG 30 PERATUS JUMLAH DAGANGAN NEGARA


 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Johor secara tidak langsung telah menyumbang hampir 30 peratus jumlah dagangan bagi tempoh Januari hingga April 2023. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Negeri Johor merekodkan jumlah dagangan sebanyak RM247.6 bilion untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding RM221.4 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Johor secara tidak langsung telah menyumbang hampir 30 peratus jumlah dagangan bagi tempoh Januari hingga April 2023.

 

Katanya, untuk tempoh itu juga Negeri Johor berjaya merekodkan nilai eksport berjumlah RM135.6 bilion dan import sebanyak RM111.9 bilion.

 

“Ini memberi isyarat bahawa kita berada di landasan tepat untuk mengulangi prestasi pelaburan pada tahun sebelumnya atau lebih baik. InsyaAllah kita akan kekal berada di tangga teratas.

 

“Jadi, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah banyak membantu agar pelaburan di Negeri Johor berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, terdapat beberapa industri yang akan diberi tumpuan khusus bagi memacu momentum pelaburan di Negeri Johor.

 

“Momentum pelaburan di negeri ini masih lagi positif dan semakin kuat terutama di sektor elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan petrokimia.

 

“Fokus seterusnya adalah untuk memberi lebih tumpuan kepada tenaga kerja dan sektor tenaga boleh diperbaharui di mana banyak pelabur-pelabur luar menekankan kedua-dua isu tersebut,” tambahnya.

 

Beliau turut memuji usaha Kerajaan Negeri Johor yang mengadakan inisiatif bagi memudahkan urusan pelabur luar untuk melaksanakan projek-projek yang ingin dilaksanakan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor