KERAJAAN JOHOR KONGSI ASPIRASI PEMBANGUNAN KLUANG


Karnival Maju Johor Daerah Kluang menjadi platform kerajaan negeri berkongsi aspirasi pembangunan di Kluang | Sumber Facebook Mohd Jafni Md Shukor.

 

ISKANDAR PUTERI — Penganjuran Karnival Maju Johor Daerah Kluang menjadi platform kerajaan negeri menyampaikan maklumat mengenai hala tuju pembangunan di Negeri Johor khususnya daerah tersebut.

 

Hadir menyempurnakan perasmian karnival itu adalah EXCO Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A. Hamid.

 

Menurut beliau, Maju Johor merupakan gagasan Menteri Besar Johor mengandungi enam teras utama yang menjadi paksi untuk memastikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

 

“Penganjuran Karnival Maju Johor Daerah Kluang ini adalah merupakan inisiatif untuk memberikan maklumat kepada warga Kluang mengenai hala tuju pembangunan di Negeri Johor dan khasnya di Daerah Kluang yang telah dan akan dilaksanakan,” kata beliau seperti dipetik dari Facebook rasminya.

 

Pada karnival tersebut, Mohd Jafni menyaksikan gimik perasmian ‘Signature Of Kluang Agriculture Sector’ seperti tanaman durian, pisang, jagung dan kopi oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor.

 

Beliau turut menyampaikan simbolik Insentif Tisu Kultur kepada peserta Farmers Field School Tanaman Keladi kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Johor Bersama MARDI.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor