KOLABORASI SWM ENVIRONMENT, MBJB MENJAYAKAN AKTIVITI KELESTARIAN


Kerjasama strategik SWM Environment dan MBJB menganjurkan Program Yok Singgah PSI tingkatkan penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam pengurusan sisa mampan.

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menganjurkan Pertandingan Bercerita Alam Sekitar dan Kitar Semula dan Pertandingan Reka Cipta Bahan di Perpustakaan Sultan Ismail (PSI).

 

Kedua-dua pertandingan tersebut dianjurkan bersempena Program Yok Singgah PSI dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik pihaknya dan MBJB.

 

Menurut beliau, inisiatif itu sebagai usaha meningkatkan penglibatan masyarakat khususnya golongan kanak-kanak dan remaja dalam pengurusan sisa mampan.

 

“Kedua-dua pertandingan tersebut memberi peluang kepada peserta memahami lebih lanjut tentang pengurusan sisa mampan merangkumi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca, Amalan 3R, pengkomposan sisa makanan serta potensi barangan kita semula dalam model ekonomi kitaran.

 

“Di samping itu, penganjuran pertandingan tersebut juga memberi nilai tambah kepada pengisian aktiviti bermanfaat dengan turut melibatkan keluarga dan guru-guru mereka,” katanya.

 

Mohd Norlisan berkata, selain dua pertandingan tersebut, SWM Environment turut mengadakan kempen KITARecycle melalui kaunter bergerak 3R Troopers dan pameran kesedaran kitar semula.

 

“Pihak SWM Environment bersedia untuk terus menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi menganjurkan pelbagai program kesedaran pengurusan sisa mampan di Negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor