RM5.2 JUTA UNTUK BAIK PULIH PPR KEMPAS PERMAI TAHUN INI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai yang baru dan sedang dinaiktaraf | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Sejumlah RM5.2 juta diperuntukkan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bagi kerja baik pulih Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, pada tahun ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan untuk kerja menaik taraf itu demi menjamin keselesaan 10,967 penduduk di PPR tersebut.

 

“RM2 juta untuk menaik taraf dan pembaikan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan yang dijangka bermula Mac selama 16 minggu.

 

“RM3.2 juta bagi mengecat blok D, E, F dan G yang dijangka bermula April selama 20 minggu.

 

“Saya memohon agar kita sama-sama bermuafakat dan sepakat menjaga kebersihan dan keceriaan PPR ini,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke PPR Kempas Permai bersama rombongan kerajaan negeri.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman; ADUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani serta Pengurus Besar PKPJ, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

 

Onn Hafiz berkata, pada tahun lalu, sebanyak RM14.089 juta diperuntukkan untuk proses menaik taraf melibatkan penggantian lif, mengecat dan penggantian semula paip.

 

“RM10.3 juta bagi menggantikan 21 unit lif, RM3.2 juta bagi kerja mengecat blok A, B dan C serta RM1.389 juta bagi penggantian semula paip,” katanya.

 

Selain itu, ketika lawatan berkenaan, beliau berkesempatan mendengar taklimat mengenai projek Pusat Belia Etiqa Cares, inisiatif syarikat insurans Etiqa bersama Adab Youth Garage.

 

Projek tersebut bagi membantu murid-murid di PPR itu belajar di luar waktu persekolahan.

 

Menteri Besar Johor turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) termasuk penyewa di PPR tersebut, penerima bantuan dialisis serta penerima bantuan sara hidup.

 

“Semoga kerja-kerja menaik taraf bangunan serta inisiatif pendidikan ini akan terus memberi kesejahteraan dan kepada penduduk setempat untuk masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor