L’ETAPE JOHOR 2023 SASAR 4,000 PENYERTAAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah ketika merasmikan L’Etape Johor 2023 bulan Mei lalu. | Foto Ihsan FB Le’Tape Malaysia

ISKANDAR PUTERI — Penganjur saingan L’etape Johor 2023 menyasarkan sebanyak 4,000 penyertaan bagi edisi kedua yang bakal berlangsung di Desaru, Pengerang pada Julai ini.

 

Pengasas bersama 36FiveX yang juga bertindak sebagai Agensi Pemasaran bagi L’etape Johor, Mizal Ghazali, berkata sehingga kini lebih 3,500 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka.

 

Pengasas bersama 36FiveX yang juga Agensi Pemasaran bagi L’etape Johor, Mizal Ghazali, berkata sehingga kini lebih 3,500 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Penyertaan masih lagi dibuka sehingga 6 Julai depan kerana matlamat kami adalah untuk mengumpul sebanyak 4,000 penyertaan.

 

“Saingan L’etape Johor ini juga bukanlah platform perlumbaan tetapi sebaliknya tujuan utama adalah memberi pengalaman kepada para peserta bagi merasai situasi sebenar penganjuran perlumbaan Le Tour De France di Perancis yang juga merupakan satu festival menghimpunkan peminat sukan berbasikal,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Media Digital Johor, semalam.

 

Tambah Mizal, keputusan memilih Desaru sebagai lokasi penganjuran juga bersandarkan kepada beberapa faktor.

 

“Kita melihat Desaru adalah lokasi yang mempunyai pakej yang lengkap untuk menampung bukan sahaja acara berbasikal tetapi festival yang bakal dijalankan pada hari penganjuran sekali gus mewujudkan suasana yang sama seperti di temasya Le Tour De France.

 

“Malah, kita juga mengambil kira jumlah yang akan hadir bukan sahaja 4,000 peserta tetapi mereka juga sudah pasti akan bawa bersama ahli keluarga untuk bercuti di sana,” tambahnya.

 

Mizal juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama terhadap penganjuran L’etape Johor 2023.

 

“Kami sangat-sangat bersyukur mendapat sokongan padu dari Kerajaan Negeri terutama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan juga Exco Belia dan Sukan, Mohd Hairi Md Shah yang mengutamakan agenda sukan di bawah pentadbiran mereka,” ujarnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor