IMBASAN PET-CT DIGITAL TARIKAN BAHARU HOSPITAL GLENEAGLES MEDINI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berucap pada Majlis Pengenalan Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, semalam. | Foto MDJ Sophie Razale.

 

ISKANDAR PUTERI — Hospital Gleneagles Medini Johor mengorak langkah dengan menyediakan pemeriksaan imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) dan Tomografi Berkomputer (CT) digital.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, perkhidmatan yang menjadi tarikan baharu hospital berkenaan mampu memperkukuhkan potensi Johor sebagai hab pelancongan kesihatan.

 

“Dengan pelaburan daripada Gleneagles ini, ia menjadi satu daya tarikan khususnya kepada mereka (dari luar negeri dan negara) yang ingin mendapatkan rawatan.

 

“Terutama pesakit dari Singapura atau Indonesia untuk mereka mendapatkan rawatan di negeri Johor ini,” katanya pada Majlis Pengenalan Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, pada Rabu.

 

Tian Soon berkata, implikasi daripada industri pelancongan kesihatan bukan sahaja memberikan limpahan terhadap sektor kesihatan di negeri ini, malah menyumbang kepada penjanaan ekonomi setempat.

 

“Kita menjadi tumpuan kepada mereka untuk datang ke Johor, bukan sahaja bagi mendapatkan rawatan malah menyumbangkan kepada pelancongan negeri Johor.

 

“Terutama kitaran ekonomi tempatan kerana ahli keluarga pesakit yang mendapatkan rawatan juga akan datang bersama dan berbelanja di sini,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Medini Johor, Dr. Kamal Amzan berkata, Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan memberi kelebihan kepada pelanggan dengan perkhidmatan fasiliti berteknologi baharu.

 

“Kami meningkatkan aksesibiliti penjagaan kesihatan dengan mengurangkan keperluan pesakit bergerak keluar daripada Johor untuk mendapatkan rawatan khusus.

 

“Pesakit kanser di Johor yang memerlukan imbasan nuklear boleh dapatkan rawatan yang diperlukan tanpa jarak dan tempoh perjalanan yang lama,” katanya.

 

Untuk rekod, projek fasiliti pemeriksaan imbasan PET-CT digital yang dibangunkan itu telah dimulakan pada tahun 2019 dan beroperasi pada tahun lalu, dengan keupayaan mengesan penyakit dengan lebih tepat dan berkesan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor