PASUKAN JOHOR BAHRU UNGGULI PIALA SULTAN JOHOR 2 TAHUN BERTURUT-TURUT


Pasukan Johor Bahru berjaya menjulang Piala Sultan Johor untuk kali kedua berturut-turut. | Foto MDJ Wira Anggara

Pasukan Johor Bahru membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi berjaya menjulang Piala Sultan Johor edisi 2023 apabila menundukkan skuad Tangkak 2-1, pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), malam tadi.

 

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak diraih dengan mudah apabila skuad Tangkak yang turun penuh bermotivasi berjaya mendahului pada minit ketujuh menerusi jaringan Sharqawiy Mahathir.

 

Tersentak dengan gol awal itu, pasukan yang berpangkalan di Selatan Johor itu memperkemaskan kembali permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui Shafiq Hafiz menerusi sepakan penalti pada minit ke-20.

 

Permainan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dan tuah ternyata milik pasukan Johor Bahru apabila pemainnya, Aizat Mukhlis berjaya menghidu peluang sebelum berjaya menjaringkan gol cantik sebelum tamat babak pertama perlawanan.

 

Memasuki separuh kedua perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam merancang serangan namun kedudukan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat.

 

Kejayaan itu membolehkan pasukan Johor Bahru menjulang Piala Sultan Johor untuk kali kedua berturut-turut, selain membawa pulang wang kemenangan RM7,000.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor