PROGRAM BUBUR LAMBUK PERDANA KOTA ISKANDAR MERIAH


YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor bersama isterinya, YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif hadir merasmikan Program Bubur Lambuk Perdana Kota Iskandar 1445H / 2024M. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Program Bubur Lambuk Perdana Kota Iskandar 1445H / 2024M anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor berlangsung meriah dengan penyertaan jabatan dan agensi negeri melibatkan hampir 300 penjawat awam di parkir Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, hari ini.

 

Turut berlangsung serentak di 10 daerah dengan keseluruhan 105 periuk bubur lambuk, program julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Johor.

 

Lebih menarik, program dengan kerjasama Yayasan JDT, Southern Volunteers (SV) dan Petronas Dagangan yang berjaya menyediakan kira-kira 7,500 bungkus bubur lambuk oleh 30 jabatan kerajaan dan agensi negeri di Kota Iskandar itu juga berlangsung secara lintas langsung dengan daerah-daerah.

 

Kesemua bubur lambuk berkenaan yang dimasak di bawah pengawasan Chef Razak Abdullah sejak seawal jam 8 pagi secara bergotong royong itu diagihkan kepada kakitangan jabatan dan agensi, golongan asnaf dan fakir miskin serta orang ramai terutama di Bazar Ramadan kawasan Gelang Patah melalui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor bersama isterinya, YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor hadir menyempurnakan gimik perasmian dengan mengacau dan menyiapkan satu pek bubur lambuk.

 

Hadir sama, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) serta YDH. Shubanah Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat).

 

#BangsaJohor 

#MediaDigitalJohor 

#SahihTepatPantas 

#MajuJohor