TREND PENURUNAN MANGSA BANJIR DI PPS


Pemantauan berteursan oleh sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di kawasan dinaiki air di daerah yang terjejas | Sumber gambar Angkatan Pertahanan Awam Daerah Segamat.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir Negeri Johor ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menunjukkan trend penurunan setakat jam 12 tengah hari.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, mangsa di 17 PPS terkini adalah 1,373 orang daripada 378 keluarga di empat daerah yang terjejas.

 

Menurutnya, jumlah tersebut berbeza dengan data laporan jam 8 pagi tadi, iaitu 1,381 orang daripada 379 keluarga berlindung di PPS yang beroperasi.

 

“Setakat ini daerah yang terjejas masih kekal iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

 

“Batu Pahat masih menempatkan ramai mangsa iaitu 919 orang daripada 255 keluarga di tujuh PPS. Kota Tinggi pula dengan 217 orang daripada 58 keluarga di empat PPS.

 

“Manakala Mersing dengan 147 orang daripada 38 keluarga di tiga PPS dan Segamat dengan 90 orang daripada 27 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri turut memberitahu tiada PPS baharu yang dibuka dan ditutup setakat tengah hari ini.

 

Berhubung jadual paras air sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan sub-lembangan di Sungai Muar di Buloh Kasap di Segamat, Sungai Bekok di Batu Pahat dan Sungai Endau di Mersing berada pada aras Amaran.

 

Selain itu, Jabatan Kerja Raya memaklumkan dua laluan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor