ARWAH ‘PERGI’ SEBAGAI SEORANG PEJUANG


Mohamad Borak, 71, menganggap pemergian anak keduanya, Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai ketentuan daripada Allah dan akan tetap reda serta mendoakan supaya ditempatkan di taman-taman syurga kelak. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tiada apa yang lebih memilukan buat insan yang bergelar bapa untuk menerima ketentuan anak tersayang telah ‘pergi’ terlebih dahulu dijemput ilahi dan lebih-lebih lagi dalam keadaan yang menyayat hati.

 

Namun bagi Mohamad Borak, 71, beliau menganggapnya sebagai ketentuan daripada Allah dan akan tetap reda serta mendoakan supaya anak keduanya, Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan ditempatkan di taman-taman syurga kelak.

 

Walaupun masih lagi diselubungi dengan kesedihan, Mohamad mengumpul saki baki semangat dan kekuatan yang ada pada dirinya untuk tetap mengukir senyuman supaya beliau dapat menzahirkan rasa bangga melihatkan pemergian anaknya sebagai pejuang yang terkorban sewaktu bertugas menerbangkan pesawat jenis Fennec dalam nahas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Selasa lalu.

 

Mengulas lanjut, Mohamad dan isteri, Napkiah Ahmad, 71, menjelaskan mereka sama sekali tidak mendapat sebarang petunjuk atau petanda terhadap insiden buruk yang bakal menimpa anaknya pada pagi Selasa.

 

Ia sekali gus menjadikan kenangan terakhir berhari raya bersama anak keduanya dari sembilan beradik pada 1 Syawal yang lalu sebagai kenangan indah yang mahu diingati oleh Mohamad sekeluarga.

 

Mohamad dan isterinya turut mengambarka Allahyarham Muhamad Amir sebagai anak yang soleh dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah lokek dalam membantu ahli keluarga yang lain. Malah, Allahyarham juga sempat membina kediaman yang selesa untuk mereka berdua di Kampung FELCRA Bukit Kepong, Muar.

 

Allahyarham Komander Muhamad Amir bersama sembilan anggota yang lain terkorban pada nahas melibatkan dua helikopter jenis Fennec M5026 dan HOM M5033 yang bertembung di udara ketika menjalani latihan raptai sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM yang dijadualkan berlangsung pada 25 April hingga 5 Mei ini.

 

#TragediNahasHelikopter
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor