AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP DALANG PEMBUANGAN SAMPAH HARAM


MBIP memaklumkan hasil tinjauan mendapati sisa pukal sampah yang terbakar masih menghasilkan asap bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah membahayakan komuniti sekitar. | Foto Ihsan FB Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

 

ISKANDAR PUTERI — Tindakan undang-undang lebih tegas perlu dikenakan terhadap pemilik tanah dan individu membuang sampah selain melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan haram Mukim Pulai, Ulu Choh, dekat sini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, pihak berkuasa juga disarankan untuk memagar kawasan terbabit daripada terus diceroboh dan dijadikan lokasi pembuangan sisa pukal secara sewenang-wenangnya.

 

“Pembakaran serta pembuangan sampah secara haram di tanah itu telah lama berlaku. Saya harap satu tindakan tegas diambil bukan sahaja kepada pemilik tanah, tetapi juga kepada ejen yang menguruskan penjagaan tanah itu.

 

“Kenakan juga kompaun yang tinggi dan tindakan mahkamah kepada mereka yang degil. Saya juga telah mencadangkan supaya kawasan tersebut dipagar bagi menghalang perbuatan tersebut berulang,” katanya kepada Media Digital Johor ketika dihubungi, hari ini.

 

Sementara itu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bersama pihak berkaitan melancarkan operasi bersepadu membersih dan memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram itu bermula semalam.

 

Penolong Pengarah (Korporat) MBIP, Ahmad Zakwan Abdul Hamid berkata, operasi dijangka mengambil masa selama 10 hari itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

 

“Pemantauan dan kerja-kerja memadam api melibatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, manakala MBIP membantu dari segi penyediaan logistik. Pejabat ADUN Kota Iskandar juga ada menyediakan makanan kepada para petugas.

 

“Pihak SWCorp telah mengeluarkan notis menghentikan pembakaran terbuka kepada pemilik tanah persendirian ini selain bantuan pembersihan yang diberikan oleh pihak SWM,” katanya ketika dihubungi.

 

Terdahulu, Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad melakukan lawatan tapak tapak bagi melihat situasi semasa tapak pelupusan itu bersama Pandak, Ahli Majlis MBIP Zon Kota Iskandar, Yusof Ahmad serta wakil daripada JBPM, SWCorp dan SWM Environment pada 1 Jun lalu.

 

Menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi, MBIP memaklumkan hasil tinjauan mendapati sisa pukal sampah yang terbakar masih menghasilkan asap bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah membahayakan komuniti sekitar.

 

“Sehubungan dengan itu, beberapa inisiatif segera secara bersepadu oleh MBIP, JBPM, JPS, SWCorp dan SWM Environment akan diambil bagi mengatasi masalah berkenaan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuang sampah di tapak pelupusan sampah haram serta membuat pembakaran terbuka demi kelestarian alam sekitar kita bersama,” jelas MBIP.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor