30 TAN SAMPAH DIKUTIP DALAM TEMPOH DUA TAHUN DI SUNGAI SKUDAI
JOHOR BAHRU — Kira-kira 30 tan sampah telah dikutip di sepanjang Sungai Skudai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata angka tersebut merupakan satu jumlah yang besar dan mencerminkan tahap kesedaran yang masih kurang dalam kalangan masyarakat.
“Rekod daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan mereka telah mengutip hampir 30 tan sampah untuk dua tahun berturut-turut…tak pernah kurang (daripada jumlah itu).
“Bila kita laksanakan kerja-kerja pembersihan (ia akan memberi hasil) memang cantik kawasan sungai dan persekitaran. Bagaimanapun, adalah amat malang selepas beberapa hari (kerja pembersihan dilakukan), sampah itu datang balik. Ia bermaksud kesedaran orang ramai masih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor selepas menghadiri Program Sungai Bersih @ Sungai Skudai, di Kampung Bakar Batu dekat sini, hari ini.
Tambah Raven Kumar, Kerajaan Negeri juga amat serius dalam menjayakan agenda Johor Bersih dan menyeru orang ramai supaya turut sama bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
“Ini bukan inisiatif melibatkan seorang sahaja (Menteri Besar) kerana usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak berikutan ia adalah tanggungjawab kita secara bersama. Kita nak lihat sungai di Johor bersih bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk anak-anak kita,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Raven Kumar juga tidak menolak kemungkinan akan mengkaji teknologi baharu yang boleh diguna pakai dalam membantu melancarkan kerja-kerja pembersihan sungai di negeri ini pada masa akan datang.
“Buat masa ini, kita menggunakan dua buah bot ‘Scavenger’ perangkap sampah yang dikendalikan oleh JPS. Jika ada keperluan mendesak, kita akan lihat dahulu apa jenis teknologi moden (terbaharu) yang sesuai untuk digunakan di sini kelak,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor