JBPM JOHOR HANTAR BARANGAN MAKANAN KAWASAN TERPUTUS HUBUNGAN


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melaksanakan khidmat khas, logistik banjir ke Pulau Sibu dan Pulau Aur, dekat Mersing | Sumber JBPM Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melaksanakan khidmat khas, logistik banjir ke Pulau Sibu dan Pulau Aur, dekat Mersing, hari ini.

 

Khidmat khas itu digerakkan pada jam 12.10 petang, di mana operasi tersebut menghadapi pelbagai cabaran dan risiko.

 

Antara cabaran dan risiko dihadapi adalah ketiadaan kawasan pendaratan yang khusus, faktor air pasang, cuaca yang tidak menentu serta faktor angin kencang di kawasan tersebut.

 

Bagaimanapun, kecekapan juruterbang JBPM Negeri Johor berjaya menyelesaikan operasi tersebut.

 

Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, Mohd Rizal Buang berkata, khidmat khas itu dijalankan berdasarkan permohonan dari Pejabat Daerah Mersing bagi menyerahkan bekalan makanan kepada penduduk di Pulau Sibu dan Pulau Aur.

 

Menurutnya, penduduk di kedua-dua pulau terbabit terputus hubungan kerana faktor cuaca tidak menentu dan laut yang bergelora menyebabkan penduduk tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan asas.

 

“Pesawat jenis Agusta Westland AW139 yang diketuai oleh Komander Pesawat Penguasa Kanan Bomba I Wahyudi Mohd Sayuhti bersama empat krew telah menghantar 2,405 kilogram bekalan makanan melalui tiga kali penghantaran ke pulau tersebut,” katanya.

 

Selain itu, Mohd Rizal turut memaklumkan operasi berkenaan akan diteruskan bagi khidmat khas, logistik banjir ke Kampung Peta dan Kampung Punan, dekat Mersing pada petang ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor