KERAJAAN JOHOR DAN PERSEKUTUAN TERUS KOMITED ATASI KESESAKAN DI PINTU SEMPADAN


Anthony Loke (kiri) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (kanan) mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Fazli Salleh

 

Isu kesesakan pintu sempadan negara di negeri ini sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk melancarkan aliran trafik di kedua-dua hala termasuk di lokasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh telah mengadakan lawatan ke KSAB bagi menyelesaikan isu kesesakan yang sering berlaku di CIQ terbabit, minggu lalu.

 

Beberapa usaha jangka masa pendek diambil bagi mengatasi kesesakan yang telah dikenal pasti termasuk pelaksanaan sistem kawalan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) secara mobil dan inisiatif laluan kontra bermula minggu ini.

 

Sistem VEP itu diyakini berupaya merekod dan juga mengenal pasti kenderaan asing keluar masuk ke negara ini melalui pintu sempadan terutamanya pada waktu puncak bagi menyokong pelaksanaan laluan kontra keluar dari Malaysia ke Singapura dilaksanakan.

 

Pelaksanaan laluan kontra keluar di KSAB ini akan membolehkan sebanyak 36 kaunter imigresen beroperasi pada satu-satu masa berbanding 12 kaunter sebelum ini bagi membantu penyuraian trafik keluar dari KSAB terutamanya ketika waktu puncak.

 

Berdasarkan statistik, sebanyak 169 kaunter beroperasi di CIQ KSAB dan telah menerima lebih 22 juta pengembara setakat tahun 2022 dengan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat menjelang 2025.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor