KERAJAAN NEGERI KOMITED JADIKAN SEKOLAH MEDAN SEMAI PERPADUAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh bertemu pihak yang terlibat bagi mendengar sendiri isu berkaitan | Sumber gambar Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited menjadikan sekolah sebagai medan untuk menyemai semangat perpaduan dan menolak sebarang program atau aktiviti yang boleh membawa kepada diskriminasi kaum dan agama.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, identiti Bangsa Johor itu sendiri cukup sinonim sebagai pemangkin semangat untuk membentuk keharmonian, persefahaman dan toleransi antara pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

 

“Patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor agar tiada orang yang disisihkan daripada mana-mana program atas sebab agama dan bangsanya,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa isu-isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

 

Baginda Tuanku Sultan bertitah sedemikian sebagai merujuk kepada satu pertuduhan yang telah viral berkenaan satu bengkel peperiksaan yang dianjurkan khusus bagi pelajar Muslim oleh sebuah sekolah di Johor Bahru, baru-baru ini.

 

Norlizah memberitahu telah mengambil inisiatif dengan memanggil warga Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pihak pentadbiran dan guru berserta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit bagi mendengar sendiri isu berkaitan.

 

Ujarnya, berdasarkan pencerahan diberikan pihak sekolah dan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program yang dijalankan tidak mengabaikan dan mendiskriminasi agama dan bangsa pelajar.

 

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan pendapat sendiri di media sosial kerana perkara ini boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni terutama kepada Negeri Johor.

 

“Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada semua terutama ibu bapa dan masyarakat, jika terdapat sebarang aduan yang melibatkan sekolah dan murid, aduan tersebut bolehlah disalurkan kepada pihak berwajib melalui saluran atau platform yang telah disediakan oleh pihak KPM,” kata beliau.

 

Beberapa hari lalu, tular dakwaan satu bengkel peperiksaan yang dianjurkan khusus bagi pelajar Muslim yang telah menjadi polemik di media sosial.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor