TIGA PPS BAHARU DIBUKA DI KOTA TINGGI, MERSING


Jumlah mangsa banjir terkini adalah 1,536 keluarga terdiri 5,528 penduduk dengan 58 pusat pemindahan sementara beroperasi di tujuh daerah | Sumber gambar Facebook APM Batu Pahat.

 

ISKANDAR PUTERI — Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 58 PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di tujuh daerah, di negeri ini.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 12 tengah hari memaklumkan, jumlah mangsa banjir terkini adalah 1,536 keluarga terdiri 5,528 penduduk.

 

Tiga PPS baharu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr. Syed Nasir di Kota Tinggi serta SK Bandar Mersing dan Sekolah Agama Bukit Timbalan di Mersing.

 

Pembukaan ketiga-tiga PPS terbabit menyaksikan jumlah mangsa banjir di Mersing dan Kota Tinggi bertambah berbanding laporan JPBN jam 8 pagi.

 

Selain itu, bagi daerah lain yang terjejas iaitu Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian tiada pertambahan PPS baharu, namun terdapat peningkatan dalam skala kecil angka mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

 

Setakat ini, hanya dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Chaah dan SK Sri Bali Chaah yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sungai Besar dan Kampung Jawa sebelum ini, telah ditutup semalam.

 

Selain itu, lima laluan masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu (FT1425) dan Jalan Tanah Abang (J228) di Mersing; Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai serta Jalan FELDA Medoi (FT1384) dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J156) di Segamat.

 

Empat laluan dibuka untuk kenderaan ringan sahaja iaitu Jalan Mohd Aris (J86) di Mersing; Jalan Lok Heng / Mawai / Sg. Mas (FT99) di Kota Tinggi serta Jalan Tunku 3 (J154) dan Jalan Bekok (J150) di Segamat.

 

Manakala empat laluan pula, dibuka kepada kenderaan berat iaitu Jalan Utama Johor Bahru-Kuantan (FT03) di Mersing serta Jalan Mawai Lama (J172), Jalan Tanjung Sedili (FT212) dan Jalan Utama Johor Bahru-Endau (FT003) di Kota Tinggi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor