PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR, AKSES KEMUDAHAN ASAS TERUS DIBERIKAN PERHATIAN


Akses dan ketersambungan rakyat dan pelabur kepada sistem bekalan utiliti menjadi keutamaan kerajaan negeri | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited untuk terus memberi fokus kepada pembangunan infrastuktur dan akses kemudahan asas.

Ia meliputi jalan raya, pengangkutan, komunikasi, bekalan air bersih serta bekalan elektrik.

Bagi tujuan memperkasa kemudahan dan keperluan asas, kerajaan negeri akan melaksanakan empat strategi dan 13 inisiatif di bawah teras Kemudahan dan Keperluan Asas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, empat inisiatif akan dilaksanakan bagi strategi Penyelenggaraan dan Naik Taraf Infrastruktur Awam.

“Inisiatif pertama dalam strategi ini ialah Membina, Menaik Taraf dan Menyelenggara Kemudahan Jalan dan Jambatan. Inisiatif kedua ialah Menaik Taraf Kemudahan Lampu Jalan.

“Inisiatif ketiga ialah Membina Infrastruktur Awam dan Kompleks Gerai Perniagaan. Inisiatif keempat pula ialah Penyelenggaraan Sekolah Agama, Masjid dan Surau serta Tanah Perkuburan Islam,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023.

Onn Hafiz berkata, bagi strategi Pengangkutan Awam Johor, tiga inisiatif akan dilaksanakan.

“Inisiatif pertama, Melancarkan Pergerakan Laluan Sempadan Johor Bahru – Singapura. Inisiatif kedua, Penambahbaikan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor dan Naik Taraf Terminal Larkin Sentral. Inisiatif ketiga pula ialah Penyuraian Trafik RTS Link,” katanya.

Bagi strategi Infrastruktur Bekalan Air, Elektrik dan Telekomunikasi, Menteri Besar Johor memberitahu tiga inisiatif bakal dilaksanakan.

“Inisiatif pertama, Pemeliharaan Sumber Air dan Bekalan Air. Inisiatif kedua, Jaminan Bekalan Elektrik Yang Stabil. Inisiatif ketiga dalam strategi ini ialah Jaringan Internet dan Telekomunikasi,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, tiga inisiatif akan dilaksanakan dalam strategi Meningkatkan Tahap Kesihatan.

“Inisiatif pertama dalam strategi ini ialah Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor. Inisiatif kedua, Program Johor Bebas Denggi. Inisiatif ketiga pula ialah Bangsa Johor Bebas Dadah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor